muntah sakit kepala mengandung hamil

Soalan

BERAPA LAMAKAH mabuk hamil seperti loya dan muntah akan berlangsung?

 

Bolehkah ia menjejaskan perkembangan bayi yang kini lapan minggu dalam kandungan? Bagaimana untuk mendapatkan bantuan jika simptom ini berterusan atau semakin teruk?

Bakal ibu,

Perak.

 

Jawapan

KIRA-KIRA lapan daripada 10 wanita hamil mengalami mabuk dan separuh daripada mereka muntah-muntah. Mabuk hamil ialah kejadian medikal yang paling biasa berlaku pada awal kehamilan, tetapi berbeza antara wanita.

 

Anda mungkin mendapat serangan mual ringan dari semasa ke semasa apabila mula-mula bangun, atau mendapati bahawa bau tertentu mencetuskan rasa mual untuk sepanjang hari. Kebanyakan pesakit akan mengalaminya sepanjang hari sampai ke malam.

 

Wanita yang mabuk hamil secara berterusan sering merasakan tiada siapa yang memahami apa yang mereka sedang lalui.

 

Tidak hairanlah, ini boleh membawa kepada kemurungan. Mabuk hamil yang paling teruk dipanggil hyperemesis gravidarum (bermaksud muntah berlebihan semasa hamil).

 

Jika anda muntah banyak kali dalam sehari, tidak dapat makan dan minum tanpa muntah, dan jika berat badan anda menurun, maka anda mungkin menghidap hiperemesis.

 

Tidak seperti penyakit kehamilan biasa, hiperemesis boleh menjejaskan kesihatan anda dan bayi anda, jadi berbincanglah dengan doktor anda dengan seberapa segera.

 

Mabuk hamil biasanya bermula sekitar lima atau enam minggu kehamilan dan berkurangan bagi kebanyakan wanita apabila menjelang 14 minggu. Sesetengah wanita berterusan sehingga 16 minggu, manakala yang lain mengalami pelbagai peringkat loya atau muntah-muntah sepanjang sembilan bulan sehingga kelahiran.

 

Keadaan ini jarang berlaku, lebih-lebih lagi jika anda telah mendapatkan bantuan daripada awal. Jika anda mengalami kesakitan, demam dan sakit kepala, atau jika anda merasa loya dan muntah-muntah pertama kali setelah hamil sembilan minggu, berjumpalah dengan doktor sebab anda mungkin menghidap penyakit lain.

 

Menjejaskan bayi

Mabuk hamil tidak akan mengancam bayi selagi anda mampu menyimpan dalam perut sebahagian daripada apa yang dimakan, dan minum banyak cecair. Makan makanan seimbang jika boleh, tetapi jika anda berasa amat loya, makan apa saja yang anda mampu.

 

Pilihan makanan anda mungkin ganjil untuk seketika – mungkin selama sebulan anda hanya mampu untuk menyimpan nasi putih dan air di dalam perut tetapi cuba jangan bimbang tentang ini.

 

Jangan bimbang ketinggalan diet pemakanan sihat kerana anda boleh mengejarnya kemudian. Hepar anda menyimpan banyak nutrien yang bayi perlukan untuk membesar secara normal, jadi tidak akan berlaku apa-apa jika anda tidak banyak makan.

 

Adalah penting bagi anda mengambil tambahan asid folik kerana ini akan membantu tulang belakang dan sistem saraf bayi akan berkembang dengan baik. Ambil asid folik pada waktu di mana anda tidak akan memuntahkannya keluar.

 

Jika anda muntah banyak kali dalam sehari, tidak dapat makan dan minum tanpa muntah, serta menurun berat badan, anda perlu berjumpa doktor dari awal sebab anda boleh mengalami dehidrasi. Ada banyak rawatan yang boleh membantu anda merawatnya di rumah, atau anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital.

 

Dapatkan bantuan dan sokongan

Anda mungkin mendapati bahawa kombinasi perubahan pemakanan mungkin boleh membantu masalah ini. Jika tiada apa pun yang mujarab dan anda masih menderita, berjumpalah dengan doktor seberapa segera.

 

Rawatan menjadi lebih sukar jika dibiarkan. Mereka boleh mempertimbangkan cara-cara lain untuk mengatasi masalah ini, termasuk ubat-ubatan.

 

Beritahu suami, keluarga dan rakan-rakan anda tentang apa yang sedang dialami dan apa yang diperlukan. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana hendak membantu anda.

 

Anda mungkin perlu memberitahu rakan-rakan sekerja tentang kehamilan (dan penyakit) anda lebih awal daripada yang dirancangkan, supaya boleh mendapatkan sokongan yang anda perlukan.

 

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)

Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

Sebarang soalan dan pertanyaan berkaitan sakit puan, boleh e-mel ke adawiyah.koh@utusan.com.my

 

(Sumber Utusan Malaysia)

 

Download secara percuma ebook 99 Soal Jawab Dr Ismail Tambi.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *