kesan sampingan pil perancang

 

SAYA berusia 27 tahun dan baru berkahwin tidak sampai enam bulan. Buat masa ini saya dan suami terpaksa menangguhkan hasrat kami untuk mempunyai cahaya mata kerana kami tinggal berjauhan, saya di Shah Alam dan suami di Jepun.

 

Namun dalam tempoh dua tahun lagi, barulah kami dapat tinggal bersama. Justeru, saya memikirkan kaedah pil perancang, cuma saya agak keliru kerana pelbagai pil perancang ada di pasaran.

 

Bolehkah doktor menjelaskan secara ringkas jenis pil perancang yang ada di negara ini serta kesan sampingannya? Adakah semua jenis pil itu sesuai dengan seseorang wanita? Apakah faktor yang menentukan pemilihan satu-satu jenis pil perancang?

Mila,
Shah Alam, Selangor.

 

Terdapat dua kumpulan utama pil perancang iaitu yang mengandungi dua hormon (estrogen dan progestin) dan yang mengandungi satu hormon (progestin saja).


Kumpulan yang mengandungi satu hormon saja lebih sesuai diambil oleh ibu yang masih menyusukan anak kerana ia tidak mengurangkan penghasilan susu badan. Hanya terdapat satu saja jenama kumpulan ini. Atas sebab profesional, saya tidak akan menamakan sebarang jenama.

 

Pilihan yang lebih popular adalah kumpulan yang mengandungi dua hormon. Ia memberikan kesan pencegahan kehamilan yang sangat berkesan jika diambil dengan betul (sistematik).

 

Terdapat pelbagai jenama yang mengandungi kombinasi dos estrogen (ethinyl-estradiol) yang berbeza (20-35 mcg) serta jenis hormon progestin yang berbeza.

 

Selain itu, ada jenama yang setiap biji pil itu mengandungi komposisi (jenis dan dos) hormon yang sama manakala ada jenama lain yang dos hormon berbeza mengikut hari yang diambil (berfasa). Ada juga jenis yang mempunyai beberapa biji pil tanpa hormon bagi melengkapkan pusingan pil diambil setiap hari (berbeza dengan jenis paket yang didatangkan dengan pil yang diambil selama 21 hari saja dalam sesuatu pusingan).

 

Masing-masing mempunyai kecenderungan kesan sampingan berlainan. Apa yang menjadi perhatian kebanyakan wanita adalah kesan sampingan hormon progestin iaitu penambahan berat badan akibat kesan pengumpulan air, jerawat dan seumpamanya.

 

Dari sudut perubatan pula, kesan sampingan atau risiko yang dipersoalkan adalah penyakit DVT (pembentukan ketulan darah di dalam salur darah yang boleh menyumbatnya).

 

Semakin tinggi dos estrogen, semakin lebih risiko DVT. Bagi hormon progestin pula, berlainan jenis hormon progestin memberikan kecenderungan DVT yang berbeza.

 

Sebelum membuat keputusan mengambil pil perancang, seseorang disarankan menjalani pemeriksaan atau saringan oleh doktor untuk mengenal pasti jenis kategori keselamatan diri wanita itu dalam pengambilan pil perancang,

 

memilih jenis berdasarkan kecenderungan risiko atau kesan sampingan, kaedah betul mengambil pil, tindakan yang diambil apabila mengalami muntah atau cirit-birit (keberkesanan pil tergugat), kesan interaksi dengan ubat tertentu dan seumpamanya.

 

(Sumber Harian Metro)

 

Download secara percuma ebook 99 Soal Jawab Dr Ismail Tambi.

 


0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Muatturun Ebook Percuma 99 Soaljawab Dr Ismail TambiDownload
+